Keputusan Penuh PRU-14 Rasmi

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan penuh bagi kesemua 222 kerusi Parlimen selepas berakhir proses penjumlahan undi pada 4.45 pagi hari ini.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, Barisan Nasional (BN) memperoleh 79 kerusi, PAS (18), PKR (104), DAP (9), Parti Warisan Sabah (8), Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).

Pengumuman penuh bagi kerusi Parlimen itu adalah siri akhir sidang media keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Bilik Sidang Media, Menara SPR, Presint 2, Putrajaya.

Terdahulu, Mohd Hashim dan Timbalannya Tan Sri Othman Mahmood bersama ahli SPR yang lain bergilir-gilir mengumumkan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bermula 12.43 tengah malam tadi.

Mengakhiri sidang media berkenaan, Mohd Hashim turut merakamkan ucapan terima kasih kepada media dan jurugambar yang sabar menunggu keputusan penuh PRU-14 sejak petang semalam.

Sejurus berakhir sidang media itu, Mohd Hashim sempat beramah mesra dengan petugas media yang berkampung di Menara SPR sejak semalam.

PH janji tunai manifesto

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) berjanji akan menunaikan manifesto sebagai ‘hadiah’ kepada rakyat yang mengundi parti itu sehingga tertubuhnya kerajaan baharu.

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata, sokongan padu rakyat membuktikan mereka menentang penyelewengan dan ini yang akan berlaku jika pemimpin berlaku zalim.

“Kerajaan baharu mula dibentuk dan proses perubahan kuasa ini berlaku dalam keadaan aman, tenteram dan tanpa provokasi.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan jalankan tugas di bawah kerajaan baharu PH dengan penuh dedikasi mengikut undang-undang dan perlembagaan.

“Esok (hari ini) dan lusa (esok) cuti. Kami akan terus kerja tanpa cuti bagi membina masa depan negara yang lebih cemerlang dan makmur,” katanya pada ucapan penutup di Padang Timur, Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Ribuan penyokong mula bersurai pada 4 pagi selepas

menyanyikan lagu Negaraku.

Tiga timbalan ketua menteri Sabah kecundang

SEMUA tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menjadi wakil rakyat tanpa kalah sejak tahun 1976, tewas kepada adiknya sendiri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam pertandingan empat penjuru di kerusi DUN Tambunan.

Pairin tewas dengan majoriti 1,037 undi.

Turut bertanding di kerusi itu ialah Justin Alip dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Nestor Joannes dari Parti Cinta Sabah (PCS).

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin yang juga Setiausaha UMNO Sabah tewas di DUN Petagas disandangnya sejak beberapa penggal lalu.

Beliau memperoleh 6,318 undi, sekali gus kalah dengan majoriti 208 undi kepada calon WARISAN, Uda Sulai yang meraih 6,526 undi, manakala Ester Otion dari Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT) hanya mendapat 760 undi.

Naib Presiden GERAKAN, Datuk Raymond Tan Shu Kiah pula kalah di kerusi DUN Tanjung Papat kepada calon DAP, Frankie @ Poon Ming Fung dengan majoriti 5,818 undi.

Sumber : Hmetro